Sunday, 29 June 2014

KOTA MAHSURI, LANGKAWI


                                                         
Semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Abdullah Mukaram Shah yang kedua yang memerintah Kedah antara tahun 1762 dengan 1800, ada seorang Melayu miskin tinggal di pulau Langkawi itu bersama-sama isterinya. Mereka berdua hanya mempunyai seorang anak perempuan. Nama orang itu Pandak Maya, nama isterinya Mek Andak Alang dan anaknya dipanggil Mek Yah.

Pada suatu hari sedang Pandak Mayah mencari seekor kerbau hilang, maka dengan tiba-tiba turun hujan yang sangat lebat serta guruh petirnya. Pandak Maya berteduh di dalam sabuah pondok tinggal. Semasa berada di dalam pondok itu beliau telah terdengar tangisan seorang kanak-kanak kecil. Beliau memandang ke seluruh tempat di dalam pondok itu hendak mencari di manakah kanak-kanak itu tetapi tidak ada tanda-tanda manusia di mana-mana pun. Satu benda luar biasa yang dilihatnya di dalam pondok itu hanyalah sekeping kerak nasi di atas lantai pondok tersebut. Diambilnya sedikit kerak nasi itu kerana hendak diperiksanya. Beliau berasa takjub kerana dengan serta-merta tangisan kanak-kanak itu berhenti. 

Selepas memerhatikannya maka dilepaskannya kerak nasi itu dan kedengaran semula bunyi kanak-kanak menangis. Pandak Maya bertambah hairan apabila melihatkan kejadian itu. Apabila hujan sidang beliau berjalan pulang dengan membawa sedikit kerak nasi itu. Apabila sampai di rumah diberinya kerak nasi itu kepada isterinya serta diceritakannya apa yang telah berlaku. Isterinya menyatakan kepadanya bahawa mengikut kepercayaan orang tua-tua tangisan kanak-kanak seperti itu ialah tangisan "semangat" buah padi. Mek Andak menyimpan kerak nasi itu dan pada tiap-tiap kali beliau memasak nasi, sama ada untuk makan siang atau makan malam dimasukkannya kerak nasi itu ke dalam nasinya dan mereka bertiga beranak makanlah seperti biasa. Beberapa bulan kemudian Mek Andak mengandung sekali lagi. Dalam masa isteri Pandak Maya hamil maka kebunnya yang ditanam dengan pokok pisang, pokok buah-buahan dan pokok sayur-sayuran yang lain telah hidup dengan subur dan ayam itiknya menjadi biak. Jiran-jirannya selalu datang kepadanya membeli daun sirih dan sayur-sayuran.

Namanya menjadi terkenal bukan sahaja di kampungnya dan di dalam Mukim tempat belaiau tinggal tetapi juga di seluruh Pulau Langkawi itu. Pada suatu malam sedang  Pandak Maya berbual-bual dengan isterinya serta mengucap syukur kepada Tuhan atas rahmat dan kemakmuran yang telah diturunkan olehNya kepada mereka itu, mereka telah terdengar bunyi ular cinta mani dekat rumah mereka. Dengan tidak bertangguh-tangguh, Pandak Maya pun turun ke tanah serta nampaklah beliau ular itu ada dua ekor. Ditangkapnya kedua-kedua ekor ular itu. Mengikut satu kepercayaan orang tua-tua bahawa barang siapa dapat melihat dan memakan ular cinta mani itu akan hidup senang-lenang. Oleh yang demikian, ular itu dibunuh oleh mereka lalu dimasak dan memakannya.

Kira-kira sebulan selepas itu, pada suatu hari yang terang cuacanya dan pada saat yang baik isteri Pandak Maya berasa sakit hendak bersalin. Mek Andak menyuruh dipanggilkan bidan. Bidan datang dengan gopoh-gapah dan apabila ia sampai ia menyuruh Pandak Maya mengambil sedikit air tetapi oleh kerana musim kemarau pada masa itu tak dapatlah ia air yang cukup dari tempat yang berhampiran dengannya. Kemudian bidan menyuruh Pandak Maya mengambil daun sirih tetapi ini pun tidak diperolehnya kerana junjung sirih itu tersangat tinggi. Tidak berapa lama kemudian seorang kanak-kanak telah selamat dilahirkan dan Pandak Maya dipanggil masuk oleh bidan untuk menamakan kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu seorang perempuan dan diberi nama Mahsuri.

Apabila Mahsuri semakin besar ,rupa parasnya sangat cantik dan ramai orang datang ke rumahnya dan membawa hadiah. Pada masa itu tidak ada perempuan yang boleh menandingi kecantikkannya di seluruh Pulau Langkawi itu. Pada masa tersebut, Langkawi dibwah pemerintahan Dato' Seri Kerma Jaya dan nama isterinya ialah Mahura. Apabila Dato'Seri Kerma Jaya mendengar cerita Mahsuri dan perihal kecantikannya serta budi bahasanya itu beliau pergi ke Mawat dengan maksud hendak melihat Mahsuri. Apabila Dato' itu sampai di rumah Pandak Maya didapatinya Pandak Maya dan isterinya tiada tetapi Mahsuri berada di rumah pada ketika itu. Mahsuri membuka pintu dan memberitahu Dato' Seri Kerma Jaya bahawa ibu dan bapanya tak ada di rumah dan akan balik senja kelak. Dato' Seri Kerma Jaya tertarik oleh budi bahasa dan kecantikan Mahsuri dan ingin melamar gadis itu untuk menjadi isterinya.  Apabila dinyatakannya hasrat hatinya kepada isterinya maka terjadilah satu perkelahian yang begitu sengit sehingga terpaksa Dato' Seri Kerma Jaya membatalkan cita-citanya hendak mengahwini Mahsuri.

Dato' Seri Kerma Jaya mempunyai seorang anak bernama Mat Deris dan setelah berbaik-baik semula dengan isterinya Dato' itu telah berpakat dengan isterinya hendak meminang Mahsuri untuk anaknya. Pandak Maya serta isterinya telah menerima kedatangan orang-orang pihak Dato' Seri Kerma Jaya mengikut adat istiadatnya dan mereka pun bersetujulah atas peminangan itu. Tidak berapa lama kemudian majlis perkahwinan diadakan dengan secara besar-besaran dan hampir-hampir semua penduduk Pulau Langkawi telah dijemput hadir ke majlis yang meriah itu. Selepas perkahwinan Mahsuri dan suaminya tinggal bersama-samadengan aman sentosa dan rukun damai. Bulan berganti bulan, maka Mahsuri pun hamil. Suaminya Mat Deris telah pergi ke Siam kerana urusan perniagaan.

Dalam masa Mat Deris tidak ada maka datanglah seorang pengembara Melayu muda lagi miskin ke Langkawi. Namanya Deramang. Deramang dilahirkan di Melaka.Beliau mengembara di seluruh Semenanjung termasuklah Pulau Pinang dan Perlis. Dari Perlis beliau menyeberang ke Langkawi kerana hendak tinggal beberapa hari. Deramang mempunyai suara yang sangat merdu, dan sangat pandai berpantun serta membaca cerita dalam bentok prosa. Pada suatu hari, beliau datang ke rumah Mahsuri. Mahsuri kasihan melihatkan keadaan pengembara miskin ini lalu mempelawabeliau tinggal di rumahnya beberapa hari dengan izin ibu bapanya. Deramang menerima pelawaan itu serta mengucapkan terima kasih kepadanya.

Beberapa bulan kemudian Mahsuri pun melahirkan anaknya yang pertama iaitu seorang lelaki, dan telah diberi nama Mat Arus. Oleh kerana begitu terkenalnya Mahsuri maka namanya sentiasa di bibir mulut tiap-tiap orang. Mahura berasa cemburu dan iri hati kepada Mahsuri kerana namanya terkenal dan dengan mengingatkan cita-cita suaminya tempoh hari hendak memperisterikan Mahsuri dan telah menimbulkan perselisihan antara dia dan suaminya. Kemudian,  beliau mengambil keputusan dengan membuat fitnah terhadap Mahsuri.

Pada suatu malam, dia meminta izin daripada suaminya Dato' Seri Kerma Jaya hendak pergi ke rumah Mahsuri dengan alasan hendak mendengar Deramang berpantun dan bercerita. Beberapa ketika kemudian dan sebelum sampai ke rumah Mahsuri, Mahura berlari balik ke rumahnya dengan termengah-mengah serta dengan tangisnya dan memberitahu suaminya bahawa ia telah melihat Mahsuri dan Deramang sedang bercumbu-cumbuan dan Deramang memakai sebentuk cincin yang diberi kepadanya oleh Mahsuri. Benar Deramang ada memakai cincin. Cincin itu dihadiahkan kepadanya oleh Mahsuri dengan izin bapanya kerana menghargai jasa-jasa Deramang dalam menglipurkan hatinya dengan berpantun dan bercerita dalam masa suaminya meninggalkan rumah begitu lama.

Apabila mendenga cerita isterinya itu maka Dato' Seri Kerma Jaya berasa sangat marah dan pada keesokan paginya beliau telah mengerah orang-orangnya menangkap Mahsuri tanpa usul periksa terlebih dahulu. Orang-orang Dato' Seri Kerma Jaya pergilah ke rumah Mahsuri di Mawat dan mereka dapati Mahsuri tiada di rumah. Mahsuri telah pergi ke suatu tempat tiada jauh dari rumahnya mendodoikan anaknya di dalam buaian di bawah sepohon kayu.

Bapanya Pandak Maya yang sedang berada di dalam rumahnya apabila mendengar khabar mala petaka yang menimpa anaknya itu telah membawa tujuh buah kereta lembu yang penuh berisi wang untuk menebus anaknya itu tetapi tidak berhasil. Beratus-ratus orang telah berhimpun di Padang Hangus untuk menyaksikan hukuman bunuh terhadap Mahsuri. Permintaan Mahsuri yang terakhir ialah untuk melihat wajah anaknya buat kali yang terakhir tetapi tidak dibenarkan oleh Dato’ Seri Kerma Jaya.

Mahsuri telah diikat disebatang pokok asam jawa. Dua bilah lembing tajam telah digunakan. Apabila ditikamkan ke tubuh Mahsuri yang lemah itu pada kedua-dua belah bahagian lembut bahunya mata lembing yang tajam itu tidak dapat menembusi kulit atau dagingnya. SeIepas segala percubaan yang gagal itu, Mahsuri memberitahu jika sekiranya mereka betul-betul hendak menjalankan hukuman bunuh, beliau mempunyai sebilah lembing dan senjata itulah sahaja yang boleh membunuh beliau. Maka perintah dikeluarkan untuk pergi mengambil lembing Mahsuri. Apabila ditikamkan lembing itu ke tubuh badannya maka kelihatan darah putih memancut ke atas lalu terbentuk seperti payung di atas kepalanya.

                                  Gambaran lukisan Mahsuri dihukum bunuh

Sebelum Mahsuri menghembuskan nafasnya yang akhir dia telah berkata dengan suara yang lembut dan jelas bahawa oleh kerana perbuatan zalim ini Pulau Langkawi tidak akan makmur dan tidak akan menikmati keamanan selama tujuh keturunan yang akan datang.
       “YA Tuhanku! Tidak aku redha dan tidak aku halalkan darahku tumpah ke 
        bumi Langkawi. Tidak aku rela mati dengan teraniaya! Aku bersumpah 
        pulau ini menjadi padang jarak padang terkukur, tidak akan makmur dan 
        aman sehingga genap tujuh keturunan. Berpuakalah pulau ini! Ya, Allah, 
        matikanlah aku yang tidak berdosa ini...."

Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Ketika Tunku Abdul Rahman masih menjadi pegawai daerah, Tunku sentiasa melawat Langkawi tetapi tiada siapa yang tahu di mana tempat pengkebumian Mahsuri. Maka, Tunku mencari sehingga menemui sebuah kubur yang tersembunyi lalu dibinakan sebuah makam, yang dikenali sebagai Makam Mahsuri.
Menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur. Ada yang menyatakan kemakmuran itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri dan menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah Wan Nawawi menetap di Kampung Kemala, PhuketThailand ketika pertama kali dijejaki.
                                 Wan Aisyah Wan Nawawi, generasi ke-7

Lagenda Mahsuri terus dikenang dalam pengertian pengajarannya. Kini Makam Mahsuri telah dibina begitu rupa sebagai kompleks sejarah dan budaya. Langkawi kembali makmur sebagai bandaraya pelancongan. Kompleks Mahsuri yang terletak kira-kira 12 km dari Pekan Kuah ialah tempat di mana ikon lagenda Langkawi, iaitu Mahsuri dikebumikan. Di sini, kita boleh melawat satu kubur yang dikatakan makam Mahsuri, di samping melawat replika rumah Kedah, muzium kecil serta membeli cenderamata yang bertemakan Langkawi. Kita juga boleh menyaksikan pementasan teater Lagenda Mahsuri jika datang pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sekitar jam 3.00 p.m.

                                              Kota Mahsuri

             Makam Mahsuri



Harga tiket
Warganegara dengan Mykad
Dewasa — RM7
Kanak-kanak — RM3.50
Pelancong Asing
Dewasa — RM15
Kanak-kanak — RM7

Waktu operasi
Isnin – Ahad : 8:00 a.m – 6:00 p.m



No comments:

Post a Comment